Tuesday, September 23, 2014

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

      






      Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan mennyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan menjejaskan aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik. Amalan menjaga kerbersihan merupakan tuntutan semua agama. Persekitaran yang bersih penting untuk mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera.






     Kepentingan menjaga alam sekitar adalah penting untuk manusia, terutamanya terhadap sistem pernafasan kita. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih dan segar sememangkan amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya. Selain itu, alam sekitar yang bersih membolehkan kita menikmati keselesaan. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielekkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas, marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan menguatkan kesihatan kita. Dengan ini, kesihatan manusia akan terjamin.


                                         


     Menjaga alam sekitar adalah penting untuk flora fauna. Kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin sumber air. Tanpa pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun itu tidak akan tersejat malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan domestik mahupun industri. Selain itu, hutan akan membantu manusia menakung air dalam empangan-empangan yang dilengkapi teknologi canggih. Keadaan ini membolehkan kita menghasilkan kuasa elektrik hidro sebagai suatu tenaga yang bersifat mesra alam dan akan kita mampu mengurangkan pergantungan kepada tenaga fosil seperti petrol dan arang batu yang memusnahkan alam. Secara umumnya, kebersihan alam sekitar adalah tuntutan semula jadi untuk manusia menjamin kehidupan yang selesa. Ini bukan sahaja memastikan manusia mengelak scenario perubahan alam yang mengancam malah membantu manusia memiliki kualiti hidup yang baik.





     Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah amat penting untuk mengelakkan kepupusan. Alam sekitar merupakan tempat tinggal bagi flora dan fauna. Kedua-duanya memainkan peranan dalam mengekalkan alam semula jadi dan setiap satunya mempunyai rantaian yang mengikat antara satu sama lain, Flora fauna merupakan biodiversiti yang tidak boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat perlindungan pelbagai fauna daripada angkara manusia atau sesama haiwan sendiri. Kepupusan salah satu daripadanya akna menjejaskan kitaran alam semula jadi. Penerbangan hutan yang tidak terancang akan menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering. Ini akan menjejaskan pertumbuhan flora dan fauna pula akan kehilangan habitatnya. Pemulihara terhadap alam sekitar adalah penting untuk mengelakkan kepupusan. Dengan itu, habitat hidupan darat dan air terpelihara.

                                
     Penghutanan semula yang dilakukan secara terancang dan sistematik yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan serta badan-badan bukan kerajaan dapat meningkatkan oksigen di atmosfera kerana tumbuhan hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida dalam proses fotosintesis.. Penghutanan semula dilakukan di kawasan pokok balak yang telah ditebang tujuan penghutanan semula ini dapat memastikan spesies pokok tidak pupus. Di samping itu, penghutanan semula dapat mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik, memulihara tanah yang subur dan sumber air yang cukup. Habitat fauna dan flora serta warisan hutan juga dapat dikekalkan melalui penghutanan semula. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan pemanasan global yang serius di negara kita.


                                         



      Persekitaran yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan seranggan. Persekitaran yang kotor akan meyebabkan pembiakan seranggan yang dapat mengancam nyawa manusia. Nyamuk aedes sebagai contoh, boleh menyebabkan deman denggi yang berbahaya manakala nyamuk tiruk boleh menyebabkan penyakit malaria. Selain itu, persekitaran yang kotor akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang makanan kita akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas. Oleh itu, penjagaan kebersihan terhadap alam sekitar adalah penting. Kita boleh bebas daripada gangguan









       Keindahan alam sekitar itu juga boleh memberi peluang kepada pelancong untuk mengunjungi negara kita dan kita perlu untuk menarik perhatian mereka. Persekitaran yang cantik dan bersih dapat menarik ramai pelancongan dari luar negara atau orang tempatan untuk melancong ke negara kita. Dalam aktiviti pelancongan, kita dapat mendapatkan hasil dari pendapatan luar negara untuk menambah sumber kewangan negara. Ini dapat meningkatkan pertukaran wang asing. Dalam jangka panjang, pertumbuahan ekonomi juga akan meningkat. Melalui aktiviti itu.peluang perkerjaan untuk orang tempatan juga akan meningkat dan secara tidak langsung ia dapat mengurangkan pengangguran di negara kita. Dalam usaha memajukan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, penjagaan terhadap alam sekitar merupakan tanggungjawab masyarakat.


                                              


       Kita mesti sedar akan kepentingan memelihara alam semula jadi yang masih ada pada hari ini. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar terus dilakukan oleh pelbagai pihak di negara ini seperti kempen kebersihan, perkhemahan alam sekitar bagi belia, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak. Semuanya adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi memelihara alam sekitar. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. setiap generasi supaya pembangunan lestari dikekalkan serta penggunaan sumber alam dapat diguna pakai sehingga generasi akan datang Alasecara kualitatif dan kuantitatif.

Tuesday, September 9, 2014

Persediaan Menceburi Kerjaya yang Diminati


  Setiap orang mempunyai aspirasi kerjaya masing-masing. Kerjaya yang dipilih akan menentukan kejayaan hidup seseorang. Demi mencapai kejayaan hidup , seseorang itu perlu berusaha untuk merealisasikannya. Saya memilih kerjaya sebagai seorang doktor psikologi. Kerjaya yang amat mencabar dan berisiko ini merupakan cita-cita saya sejak di bangku sekolah lagi. Untuk mencapai hasrat ini, saya perlu menyiapkan diri dengan persediaan-persediaan yang lengkap kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

 

   Persediaan yang afdal akan saya lakukan ialah memenuhi diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam berkaitan kerjaya yang ingin saya ceburi. Hal ini memastkan nekad saya tidak mudah rapuh kerana ketinggian ilmu yang saya miliki. Saya patutlah banyak membaca bahan bacaan yang bertemakan bidang psikologi kerana saya percaya membaca itu jambatan ilmu. Ilmu pengetahuan dapat mematangkan saya untuk menguruskan kehidupan. Oleh hal yang demikian, saya sewajarnya meningkatkan ilmu pengetahuan dan keyakinan diri bagi merealisasikan impian saya iaitu menjadi seorang doktor psikologi yang berjaya.
  

    Selain itu, saya perlu melengkapkan diri saya dengan kemahiran sosial seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selanjutnya, saya haruslah menguasai lebih banyak bahasa untuk menjadi modal insan yang kamil dan yakin pada diri sendiri apabila berhadapan onak dan duri. Saya juga akan melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum kerana ini merupakan kesempatan untuk saya mengaplikasikan kemahiran-kemahiran tersebut. Sesungguhnya, usaha untuk memilki kemahiran sosial sangat mustahak untuk menceburkan diri dalam kerjaya yang mencabar ini.
  


     Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya sewajarnya mempunyai jati diri yang mantap. Sebagai seorang pelajar yang ingin menceburi kerjaya yang saya minati, saya akan sentiasa memastikan diri saya seimbang dari segi fizikal dan mental. Seterusnya saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif agar mampu menangani masalah-masalah yang bakal saya tempuhi pada masa hadapan kelak. Kesannya, saya mampu mengemukakan idea-idea yang bernas untuk menghasilkan keputusan yang tepat dan berkualiti. Sesungguhnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif serta kritis mampu memberi nilai tambah kepada diri saya.
  

     Seperkara lagi, saya juga hendaklah sentiasa sensitif serta peka terhadap isu semasa kerana saya tidak mahu menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bertujuan untuk menjadikan diri saya lebih prihatin dan memahami terhadap masalah yang semakin menular bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Saya perlu membaca surat khabar dan menonton berita mahupun melungsuri internet untuk mengetahui isu-isu semasa berkaitan hal dalam dan luar negara terutamanya hal yang berkaitan kerjaya yang saya minati. Impaknya saya berupaya menangkis sebarang halangan ketika menjakankan tugas kelak.
  

     Kesimpulannya, inilah persediaan-persediaan yang akan saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai cita-cita saya. Oleh hal yang demikian, saya akan sentiasa menitikberatkan kemajuan diri dalam aspek jasmani,rohani, emosi dan sosial. Semoga hasrat saya terlaksana kerana tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan.

x

Tuesday, September 2, 2014

Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat


Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat







   Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka? 

 

  Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat. 


 


   Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk. 

  

   Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.


   Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak. Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka.

 

    Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong ditaman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit. 


    Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif. 

 

    Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
 

      Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat. 

       

         Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. 

      

      Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih