Tuesday, August 26, 2014

CERPEN

KEMANISAN KEJAYAAN 


    Indahnya apabila melancong di Negara asing dapat melihat permandangan yang cantik dengan seni binaan bangunan yang unik dan menarik . Adat dan budaya sangat berbeza ketika di kampung halaman tetapi masih indah . Tiba- tiba , KRINGKRING KRINGKRING !! Aduh rupanya semua itu hanya mimpi . Tangkas aku mencapai alat penggera tersebut untuk menutupnya . Bunyinya menganggu pagi subuh yang nyaman dan sejuk . Walaupun terkejut dengan bunyi yang menjengkelkan tetapi mataku terasa berat seperti ada batu gergasi menariknya ke bawah . Aku lihat jam di dinding . “ Awal lagi rupanya . Lebih baik aku sambung tidur . Sebaik sahaja aku menarik selimut kesayanganku yang lembut untuk menutupi dan melindungi badanku daripada kesejukan yang mengigit tulang , azan berkumandang menandakan sudah masuk waktu Subuh . Aku lepaskan genggamanku dan segera berdiri seperti seorang askar yang dijatuhkan oleh musuhnya dan dengan tangkas dia berdiri semula . Tanpa melengahkan masa dengan segera aku menuju ke tandas untuk mengambil wudhuk . Air paip di waktu pagi sudah cukup membuatkan gigiku menggeletar kesejukan . Aku menunaikan kewajipanku di dalam bilik tidurku dan setelah selesai aku mengangkat tangan memohon daripada ALLAH TUHAN SEGALA ALAM  untuk memenuhi segala permintaanku .

     Makanan pagi telah tersedia di atas meja oleh ibuku yang tercinta . Nasi lemak ayam dengan air milo suam menjadi rutin harianku di setiap pagi cuti sekolah . Adakalanya ibu memasak nasi minyak tetapi mungkin ibu sudah malas . Walaubagaimanapun , aku tetap berpuas hati walau makanan tidak seberapa asalkan dapat memenuhi perutku yang kekosongan .

“ Nanti abang nak pergi sekolah pukul berapa ?  “ tanya ibuku . 

     Aku yang baru sahaja ingin menyuap nasi lemak dengan cebisan ayam goreng terhenti kejap untuk menjawab soalan itu .

“ Pukul sebelas setengah nanti abang nak pergi dengan motorsikal , jawabku .
“ Baguslah jika begitu .”

    Aku selalu menghabiskan masaku selepas makan di hadapan televisyen ditemani oleh ayahku ketika dia bercuti . Perut yang penuh diisi dengan air milo dan nasi lemak ayam membuatkan aku tidak larat lagi untuk berjalan . Tambah pula dengan mata secara tiba-tiba terasa berat semula seperti subuh tadi . Aku merehatkan kepalaku di atas sofa dan menutup mataku dengan perlahan-lahan . Hanya bunyi kipas yang bergerak dapatku dengari selain daripada degupan jantung yang berdegup-degup . Tanganku bergerak dengan sendirinya ke bawah lalu mencapai sesuatu . Aku segera menariknya ke atas dan memeluk bantal kecil itu . Bau bantal kecil itu menjadi kegemaranku . Kelembutan kain yang membalutnya membuatkan aku terlena seketika . ‘

“Bangun – bangun , ada orang telefon abang ni ! “

   Mataku masih rapat , badanku masih lagi berbaring di atas sofa . Aku mencapai telefon di tangan ibu dan meletakkannya di telinga .

“Siapakah ini ? “ tanyaku dalam keadaan separuh tidur dan separuh terjaga .

“Ini Haziqlah , cepatlah datang rumah . Sudah lambatlah .”

     Aku kehairanan . Apakah yang dimaksudkan lambat oleh Haziq . Oh rupanya sudah pukul sebelas empat puluh lima pagi . Tidakku sangka sudah lambat begini rasanya baru seketika aku berada di alam mimpi . Aku tergesa-gesa mencari kunci motorku dan menuju ke rumah Haziq . Cuacanya agak panas membuatkan aku menyesal tidak membawa topi bersamaku tapi aku tidak sampai hati untuk membuat Haziq menunggu lebih lama lagi . Aku meneruskan perjalananku ke rumah Haziq .

    Apabila di sana , aku melihat Haziq berada di hadapan pagar rumahnya dengan berpakaian seperti orang yang hendak pergi melancong bersama-sama keluarganya ke luar negara . Jarang sekali kulihat Haziq berpakaian begitu . Haziq memarahiku kerana lambat , tapi apakan daya aku hanya mampu mengangkat tanganku tanda memohon maaf daripadanya . Haziq menaiki motorku dan duduk di belakangku . Kami terus menuju ke sekolah kami . Sudah berminggu-minggu kami tidak ke sekolah , banyak kenangan pahit dan manis , suka dan duka kami sekawan di sana . Terlalu banyak peristiwa yang kami alami bersama .

     Kami selamat tiba di pintu pagar sekolah . Aku mengangkat tanganku sebagai tanda hormat kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pondok pengawal  . Dia membalas juga dengan mengangkat tangan sambil melemparkan senyuman . Kami menuju ke tempat letak kenderaan yang berhampiran dengan kantin sekolah . Di sana ternyata sudah ramai rakan-rakan seperjuangan kami berada si sana sambil berborak – borak dan bercerita tentang pengalaman cuti masing-masing . Aku membawa motorku ke arah sahabat – sahabat sekelasku lalu mematikan enjin motor . Aku dan Haziq bersalaman dengan mereka sambil bertanya khabar . Wajah – wajah yang penuh dengan kegembiraan membuatkan aku juga tersenyum . Melihat sahabat-sahabat aku gembira sudah cukup membuat aku gembira sekali . Selama tiga tahun kami bersama di sekolah ini dan telah banyak peristiwa kami lalui bersama .

    Aku melihat jam tanganku . sudah menunjukkan pukul dua belas dua puluh . Aku menjadi kehairanan kerana diberitahu bahawa keputusan akan diserahkan pada pukul dua belas tadi . 

   Sahabatku berkata “ Keputusan dah sampai tapi kita tengah tunggu  Tuan Pengetua .”

    Rupanya begitu , kurang sedikit kegelisahan di hatiku . Hasil usaha penat lelahku selama ini akan terjawab pada hari ini . Setelah berbulan- bulan aku mengorbankan masaku , waktu cutiku dan waktu rehat . Hanya satu kertas sahaja akan menjawab segala- galanya .

    Dengan cuaca yang panas , kesabaranku semakin membuak-buak . Aku tidak tahan lagi . Tambah pula , aku semakin bosan . Aku mengajak kawan-kawanku yang lain untuk pergi berjalan – jalan di sekitar sekolah . Semasa berjalan bersama , aku terimbas kenangan silam di mana kami pernah didenda berdiri di luar kelas kerana tidak menyiapkan nota oleh cikgu sejarah dan dicubit oleh cikgu bahasa melayu kerana tidak membawa buku . Aku sungguh tidak percaya masa berlalu dengan begitu pantas . Tidakku sangka walaupun kenangan itu adalah kenangan yang pahit tapi telah membuatkan aku tersenyum sendirian .  Rupanya inilah yang dipanggil zaman remaja .

   Ketika kami bersiar –siar , kami terlihat beberapa orang  sedang berborak – borak di Anjung Nilam . Selain rindu terhadap kawan , kami juga rindu terhadap cikgu-cikgu yang kami saying . Kami menegur mereka

“Apa khabar cikgu  , sihat ? “ tanya kami

“Khabar baik sahaja , lama kita tidak berjumpa kan ? Rindu cikgu terhadap anak-anak lelaki cikgu setiap hari semakin menebal “ kata guru kelas kami .

“Berapakah orang yang berjaya mendapat keputusan lapan A ?”  Haziq mencelah

“Tujuh orang sahaja .”jawab  cikgu .

    Hatiku sudah semakin berdebar sejak mendengar jawaban daripada cikgu . Jikalau  ingin dibandingkan aku dengan sahabat-sahabatku yang lain memang aku tidak setara . Bilangan pilihan adalah sebanyak enam orang termasuk Haziq . Pelajar pilihan diberi gelaran Pelajar Gemilang kerana pihak sekolah telah memilih meraka sebagai calon-calon yang bakal memperoleh keputusan cemerlang . Pelajar tersebut diberi keistimewaan yang tertentu seperti dapat meluangkan masa di dalam bilik mesyuarat untuk melakukan perbincangan atau menyelesaikan kerja sekolah . Di samping itu , mereka juga diberikan buku-buku teks tingkatan 1 dan 2 supaya dapat memudahkan mereka  mengulang kaji dan mencari maklumat . Seterusnya , mereka diberikan soalan – soalan yang sudah dipilih oleh pihak sekolah untuk menambahkan keyakinan mereka apabila menjawab soalan peperiksaan sebenar . Memang tidak dapat aku selindungi aku memang mencemburui mereka semua tapi apakan daya . Aku hanya mampu beusaha untuk membuktikan walaupun tidak tergolong dalam kumpulan pelajar gemilang , aku harap akan mendapat keputusan yang terbilang .

   Selain pelajar terbilang gemilang , terdapat juga beberapa pelajar lain yang menunjukkan potensi dan kemungkinan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang . Semakin aku memikirkannya , semakin kusut fikiranku . Hatiku sudah berdegup kencang seperti degupan seorang pelari pecut  yang keletihan . Tanganku sudah berpeluh walaupun terdapat kipas yang berpusing di atas tempat aku berdiri . Kegementaraan , sudah merasuk diriku . Tidak lama kemudian , Tuan Haji Zaib , Pengetua sekolahku pun tiba . Kini sampailah masa yang dinantikan – nantikan  maka bermulalah majlis penyampaian keputusan PMR 2013 .

   Aku seperti dirasuk kerana tidak sabar untuk mengambil keputusanku . Ucapan pengetua yang panjang lebar membuatkan kami gelisah tapi ada juga kawan-kawan aku yang lain tertidur . Aku menggenggam buku limaku sambil mengetap bibirku . Akhirnya , tuan pengetua mengakhiri ucapannya . Kami semua diarahkan berbaris mengikut kelas masing-masing . Oleh sebab terlalu gementar dan takut akan keputusan aku seniri , aku sengaja berdiri di barisan belakang .

    Tiba-tiba , ada seorang budak kelasku melompat kegembiraan , Aku terkejut dan tertanya-tanya adakah dia yang mendapat keputusan cemerlang ?  Mulutku ternganga dan mataku membulat sehingga ada orang bertanya tentang keputusannya . Rupanya dia telah mendapat keputusan yang lebih baik daripada jangkaannya . Sekali lagi , aku terlihat budak kelasku juga menjerit setelah menerima slip keputusan . Dia merupakan antara pelajar yang berpotensi dan jika dibandingkan keputusan percubaanku dengannya , dia lebih baik dan hebat lagi . Aku sekali lagi terkejut seperti ada benda yang jatuh di depan mataku dan meletup . Rupanya dia juga bukanlah pelajar cemerlang yang mendapat 8A’ . Satu lagi jeritan kedengaran dan kali ini , memang benar rakanku itu mendapat keputusan cemerlang . Orang itu adalah Haziq . Kegembiraan yang ditunjukkan olehnya mebuat aku cemburu . Semakin lama kulihat senyumannya semakin aku menyampah tetapi dia adalah sahabatku dan aku juga tumpang gembira .

    Kini tiba giliranku . Setakat ini sudah seramai enam orang mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 8A’ . Dua lelaki dan empat perempuan telah berjaya dan mereka semua adalah kumpulan pelajar gemilang kecuali Faiz Zambri . Dia adalah pelajar yang berpotensi dan telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang . Saat dia mengambil keputusan dan kulihat senyuman terukir di wajahnya ditambah pula dengan kulit muka bertukar menjadi merah . Hal itu telah mengejutkan guru-guru yang berada di situ . Nama pelajar yang terakhir itu masih belum diketahui . Mataku liar meihat orang di sebelah kanan dan kiriku . Orang dihadapanku membuat aku rasa ingin menolaknya ke tepi kerana telalu lambat .

    Kini , aku berada di hadapan guruku . Aku tidak berani meletakkan harapan tinggi tetapi hatiku menjerit menginginkan kejayan . Aku menarik nafas panjang- panjang tapi hatiku masih berdebar. Aku hanya berpeluk tubuh berdiri di hadapan guru . Kegelisahan menyelubungi diriku. . CIkgu memandang ke arahku lalu menyebut namaku . Aku yang terlalu berdebar hanya mampu mengangguk apabila namaku disebut . Aku melihat mata guruku lalu melihat bibirnya  Aku melihat bibirnya bergerak dengan taja seperti seekor helang yang sedang mencari makanan ketika sedang kelaparan . Aku perhatikan pergerakan bibirnya dan mendengar apa yang disebut .

“Tahniah Dzarif , awak berjaya mendapat 8A’ “ katanya .

   Apabila aku terdengar perkataan itu , telingaku seperti sudah tidak berfungsi lagi  Aku tidak dapat mendengar lagi bunyi-bunyi lain di persekitaranku . Hatiku yang tadi berdegup kencang telah kembali perlahan . Mataku masih tajamemerhatikan guruku dan tanpa aku sedari tanganku mencapai slip keputusan daripada tangan guruku . Ketas itu berwarna putih dan tulisannya agak kabur . Aku memfokuskan penglihatanku pada kertas itu  . Aku melihat nama , nombor kad pengenalan dan seterusnya gred mata pelajaran . Rupanya memang benar , akulah pelajar tersebut . Ternyata usaha gigihku selama ini bukanlah satu pembaziran . Aku meluahkan perasaanku dengan satu jeritan yang kuat dan menggemakan kantin . Aku membongkokan badan dan menaikkan penumbukku ke atas langit seperti seorang pemain bola mewakili negara yang telah berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya pada perlawanan akhir di saat akhir . Aku lihat pengetua berada di sisiku pantas aku mengambil tangannya dan menciumnya dan juga tanpa aku sedari aku telah memeluk Pengetua sambil mengucapkan terima kasih padanya kerana telah mendoakan kejayaanku . Memang tidak dapat dinafikan lagi . Aku telah berjaya membuktikan bahawa dengan usaha dan doa kita mampu berjaya walaupun terdapat halangan yang besar di hadapan kita .

    Wajahku bertukar menjadi merah daripada putih . Perasaanku yang gementar tadi bertukar menjadi gembira . Aku yang tadi memeluk badanku sendiri kini memeluk pengetuaku sendiri . Pipiku terasa sakit kerana terlalu lebar senyumanku . Terserlah gigi-gigiku yang putih bersih .

“Tahniah Dzarif , bersyukurlah kepada ALLAH SWT .” kata pengetua kepadaku sambil menepuk bahuku sebagai tanda syabas .

  “Alhamdulillah cikgu.” balasku sambil mengelap air mataku yang mengalir di pipiku . 

      Itulah kejayaan pertamaku sejak aku gagal meraih keputusan cemerlang ketika di bangku sekolah rendah dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah . Aku masih lagi ingat suasana sekolalh rendah ketika mengambil keputusan UPSR . Rakan-rakanku yang rapat denganku , kami belajar bersama-sama , kami bermain bersama-sama  dan menangis bersama tetapi perbezaanya hanya satu iaitu aku menangis kesedihan manakala air mata merka pula adalah air mata kegembiraan kerana memperoleh keputusan 5A’ dalam UPSR . Peritnya hati melihat orang lain bergembira di saat kita berduka . Tiada senyuman aku sedekahkan kepada merek . Namun begitu , ibu bapaku tetap memberi kata semangat kepadaku agar terus berusaha dan mara ke hadapan walaupun terkandas .


   “Cikgu , bolehkah saya meminjam telefon bimbit cikgu ? Telefon saya telah tamat perkhidmatan dan saya ingin sekali untuk memberitahu khabar ini kepada ibu saya . Bolehkah ? .” pintaku  kepada guru kelasku .

    “Sudah tentu boleh ,” balasnya lalu menghulurkan telefon bimbitnya . Aku mengukir senyuman di mukaku yang merah kerana terlalu banyak menangis tadi mendail nombor ibuku .

  “Hello , ibu ! Abang berjaya ! Abang dapat 8 A’ !!
  
 “Betulkah ini anakku ? Alhamdullilah ! “ ibuku menjawab dengan nada gembira kata-kata ibuku membuat hatiku mekar . 

     Perasaan aku ketika itu tidak dapatku ungkapkan dengan kata-kata . Aku mengucapkan terima kasih kepada ibuku kerana tidak henti – henti mendoakan kejayaanku . Selepas itu , ibu berpesan supaya terus pulang ke rumah selepas tamat majlis penyerahan keputusan PMR berjanji akan pulang segera .

   Aku kembali menemui sahabat-sahabatku yang lain . Mereka menyambutku dengan tepukan dan sorakan seumpama akulah wira mereka , akulah penyelamat mereka yang mereka nanti-nantikan selama ini . Saat itulah , saat yang terindah pernah aku alami . Pertama kalinya , aku berasa diri seperti seorang yang penting yang dipuja-puja dan dihormati . Pandangan mereka terhadapku terus berubah sejak saat itu . Dulu aku hanyalah seorang plejar yang sering dihimpit dengan kegagalan tetapi kini aku merasai manisnya nikmat kejayaan . Benarlah pepatah Melayu  yang berbunyi “ Bersusah-usah dulu , bersenang-senang kemudian “, Pepatah itu aku mendengarnya buat pertama kali ketika aku berusia dua belas tahun dan aku masih ingatkan pepatah itu . Selain itu ,  pepatah itu jugalah yang menjadi pembakar semangatku untuk terus berjuang habis-habisan . Penat lelah telah aku abaikan . Rehat , suka-ria dan bermain telah aku korbankan . Akhirnya , tiada lagi keraguan keputusanku sememangnya tepat . Jikalau kamu tidak tahan lelah belajar maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan .

   “Diminta semua orang yang memperoleh keputusan 8A’ , sila hadir semula di kantin .”                         Pengumuman daripada cikgu itu telah menggangu saat indahku bersama rakan-rakan . 
  
     Apabila tiba , rupanya ada sesi bergambar bersama-sama pengetua dan semua pelajar yang mendapat 8A’ . Aku tanpa berfikir panjang , dengan cepat meluru ke sebelah pengetua supaya aku senang dilihat oleh sesiapa sahaja yang melihat gambar itu . Pancaran cahaya dari kamera Nikon membuat mataku sakit . Tapi aku tahan kerana peluang seperti ini hanya sekali seumur hidup dan pastinya tidak akan aku lepaskan begitu sahaja .

    Selesai sesi pengambaran , aku berkumpul dengan sahabatku di tempat letak motorsikal . Di sana , sekali lagi aku bergambar  beramai-ramai dengan mereka sambil menunjukan slip keputusan kami semua . Gambar itu akanku kenang sebagai gambar yang terbaik pernah aku miliki . Aku pulang ke rumah selepas selesai menghantar Haziq ke rumahnya . Ketika di sana , kami terserempak dengan abang Haziq di luar rumah . Dia bertanya tentang keputusan kami . Kami pun apa lagi terus menunjukan slip kami kepadanya . Riak wajahnya seperti dia tidak menyangkakan kejayaan kami . Matanya bulat melihat slip keputusan PMR dan mulutnya ternganga luas . Sungguh lucu sesiapa yang melihatnya ketika itu .

    Aku tiba di pintu gerbang rumahku . Dulu aku memasukinya dengan hati yang sedih dan tangisan tapi kini aku dapat membalas dendam . Aku membukanya dengan berani . Aku melangkah dengan bermaruah . Aku berjalan dengan bangga . Keluarga menyambut aku dengan gembira . Aku tak dapat lagi menahan ketawaku . Tawaku meledak seumpama gunung berapi memuntahkan laharnya . Ayahku mengambil gambarku manakala ibuku memelukku . Perasaan aku ketika itu sekali lagi tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata . Hanya aku dan Yang Maha Esa sahaja dapat mengetahuinya .

    Petang itu , aku dihujani dengan ucapan tahniah daripada kawan-kawanku yang bersekolah di daerah lain melalu pesanan ringkas . Ucapan syabas melalui Facebook juga tidak kurangnya. Aku memberitahu mereka bahawa aku berjaya memperoleh keputusan 8A’. Ada antara mereka yang terkejut dengan kejayaanku tetapi mereka tetap mengucapkan tahniah kepadaku atas kejayaan tersebut. Keyakinan diriku pada hari itu telah meningkat sehinggalah hari ini.

    Sang suria telah hilang dari langit. Sang bulan telah timbul dan ditemani oleh bintang-bintang di sisinya. Malam itu, perasaan aku sungguh gembira.  Hatiku yang dulu gementar dan risau akhirnya telah kembali tenang. Ketenangan seperti inilah yang aku sering impikan. Oleh sebab itu, pada tahun ini, aku akan lakukan yang terbaik agar keputusan SPM aku nanti sama seperti PMR. InsyaAllah, tiada yang mustahil dalam hidup ini.                                                                                                                                             

        
                                                  DZARIF IMRAN

No comments:

Post a Comment